Beberapa hari lagi, umat Islam di seluruh dunia akan menyambut ketibaan tetamu tahunanistimewa iaitu Ramadan al-Mubarak. Ibadah puasa di bulan yang penuh keberkatan ini menyatukan umat Islam daripada pelbagai latar belakang walau di mana jua mereka berada. Ketibaan Ramadan setiap tahun amat ditunggu-tunggu oleh golongan mukmin yang mendambakan dekatnyadiri mereka dengan Allah swt. Ramadan membuka peluang seluas-luasnya bagi mereka membersihkan diri dan fizikal, menyucikan jiwa dan ruhani daripada segala karat dosa dan kesilapan lalu yang mengundang murka Allah swt.
Ramadan menjanjikan natijah yang besar dan amat bernilai. Mereka yang mendaftar untuk menjalani latihan pendek (short course) di Universiti Ramadan bakal memperolehi ijazah Taqwa sekiranya mereka memenuhi segala keperluan dan syarat yang telah diberikan panduannya oleh Allah swt dan Rasulnya Muhammad saw. Sepanjang 29 atau 30 hari, setiap saat mereka akan diuji dengan pelbagai cabaran dan ujian dalam usaha menyelesaikan beberapa modul yang telah disediakan. Antaranya:
a. Modul puasa
Markah tertinggi akan diperolehi oleh mereka yang mampu mencapai puasa tahap Khawas (Cemerlang). Diikuti tahap Khusus (Memuaskan) dan Umum (Lulus). Modul ini adalah pra-syarat (pre-requisite) kepada gandaan pahala yang akan diperolehi melalui amalan-amalan (baca: modul-modul) lain yang diikuti sepanjang Ramadan.
Di suatu penjuru dalam masjid, seorang alim sedang bercerita tentang biografi rijal (perawi-perawi hadith). Suatu ketika beliau mengatakan si fulan bin si fulan ini seorang perawi yang kuat. Di ketika yang lain beliau menyatakan si fulan bin si fulan seorang perawi yang lemah. Timbul pertanyaan dalam diri Baqi bin Makhlad. Siapakah gerangan si alim ini? Selepas bertanya khabar daripada salah seorang hadirin yang sedang khusyu’ mendengar perbahasan tersebut, jelaslah kepada beliau bahawa si alim ini bukan calang-calang manusia. Beliau merupakan al-Imam Yahya bin Ma’in, seorang pakar dalam bidang ‘ilmu al-Rijal (ilmu penilaian biografi dan taraf perawi-perawi hadith). Syukur kepada Tuhan dipertemukan dengan al-Imam Yahya bin Ma’in.
Lalu peluang terus diambil dan masa bertanya digunakan sepenuhnya. Beberapa soalan dikemukakan berkaitan perawi-perawi yang beliau sendiri meriwayatkan hadith daripada mereka termasuk Hisham bin ‘Ammar. Maka, dengan penuh tanggungjawab, kejujuran dan keyakinan al-Imam Yahya bin Ma’in menuturkan hasil penilaian beliau bahawa Hisham bin ‘Ammar adalah Abu al-Walid, berasal dari Damsyik, seorang yang tekun beribadah khususnya solat dan merupakan seorang yang amat jujur dan dipercayai (thiqah / fawq al-Thiqah). Peluang terakhir digunakan untuk bertanyakan tentang al-Imam Ahmad bin Hanbal. Lantas al-Imam Yahya bin Ma’in menyatakan bahawa al-Imam Ahmad tidak perlu diperkenalkan. Jauh daripada sebarang kekurangan. Beliau adalah Imam al-Muslimin, yang terbaik dan termulia di kalangan ulama’ sezaman.
Syukur alhamdulillah pintu kepada pertemuan dengan al-Imam Ahmad sudah terbuka. Lantas Baqi bin Makhlad bertanyakan di mana rumah tempat tinggal al-Imam Ahmad. Setelah ditunjuk arah, Baqi bin Makhlad tiba ke tempat yang diidam-idamkan. Bertemu dengan al-Imam Ahmad menjadi matlamat utama perjalanan ini. Walaupun belum pernah bersua muka, namun populariti al-Imam Ahmad sudah cukup bagi Baqi bin Makhlad untuk mengenali dari jauh susuk tubuh ulama’ agung ini.
Sesampai di depan pintu rumah al-Imam Ahmad, Baqi mengetuk memberi salam.
Kisah perjalanan ilmu (rihlah 'ilmiyyah) al-Imam Baqi b. Makhlad al-Andalusi
Sebuah kisah rihlah ilmiyyah yang cukup ajaib, menarik dan menyentuh perasaan. Kisah seorang ulama’ dari sebelah Barat (Andalus – kini dalam negara Sepanyol di benua Eropah), seorang musafir ilmu menjelajah ke sebelah Timur, ke Baghdad kini dalam negara Iraq di Benua Asia (Asia Tengah/Timur Tengah). Penjelajahan ini bukan kerana niat untuk melancong atau makan angin. Tetapi dengan tekad yang bulat untuk menuntut ilmu hadith, mendengar sendiri hadith-hadith dibacakan dan diriwayatkan oleh seorang pakar dalam ilmu hadith iaitu Imam Ahmad bin Hanbal.
Kisah ini direkodkan dalam karya ‘al-Manhaj al-Ahmad fi Tarajum Ashab al-Imam Ahmad’ karangan al-‘Ulaymi (jilid 1, ms 177) dan dalam kitab ‘Ikhtisar al-Nabulisi li Tabaqat al-Hanabilah’ tulisan Ibn Abi Ya’la (ms 79) semasa menceritakan biografi al-Imam Baqi bin Makhlad al-Andalusi iaitu Abu ‘Abd al-Rahman Baqi bin Makhlad al-Andalusi al-Hafiz yang dilahirkan pada tahun 201 H dan meninggal dunia 276 H di Andalus.
Cabaran bermula dengan jarak perjalanan yang cukup jauh dan mencemaskan. Ditambah pula dengan kemudahan perjalanan dan kenderaan yang amat terhad. Namun, niat perlu diteruskan. Justeru, matlamat utama adalah untuk bersua dengan al-Imam Ahmad dan mendengar sendiri secara langsung mutiara-mutiara hadith Rasulullah saw daripada mulut beliau, maka perjalanan harus dimulakan. Safar ini adalah berbekalkan tulang empat kerat yang dikurnia Tuhan. Tiada kemudahan keretapi, kapal laut, kapat terbang dan seumpamanya.
Dari Andalus ke Baghdad mengambil masa sebulan perjalanan. Tiba di Baghdad, cabaran kedua dihadapi. Dikhabarkan kepada beliau pada saat itu al-Imam Ahmad bin Hanbal dikenakan tahanan dalam rumah oleh pemerintah semasa yang zalim. Diasingkan daripada bermuamalah dengan murid-murid yang dahagakan ilmu dan masyarakat yang perlukan tarbiyah. Tidak dibenarkan mengajar serta menyampaikan kuliah di masjid dan majlis-majlis ilmu.Begitulah sifat dan kelakuan penguasa yang zalim. Di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa. Sejarah akan sentiasa berulang. Buat manusia mengambil iktibar dan pengajaran.
Baqi bin Makhlad sedih. Niat suci mungkin tidak dapat dicapai dengan keadaan semasa yang berlaku. Namun peluang perlu dicari terlebih dahulu. Apa jua kaedah untuk mencapai objektif perlu diusahakan. Pencarian bermula di masjid al-Jami’ al-Kabir di Baghdad. Mencari-cari halaqah ilmu, pertolongan langit tiba.